KUALA LUMPUR – Aturcara program Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di Kedah tetap berjalan seperti biasa walaupun beberapa khemah pada muktamar itu roboh dan mencederakan 17 individu semalam.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr. Ahmad Fakruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, kejadian itu melibatkan khemah Kelab Usahawan Haraki PAS yang menempatkan agensi kerajaan dan persendirian.
“PAS Kedah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Hospital Sultanah Bahiyah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Medic Papisma dan St. John Ambulance yang membantu mangsa di tempat kejadian.
“Semua aturcara program Muktamar Tahunan PAS ke 63 yang tidak melibatkan tapak ekspo adalah berjalan seperti biasa. Marilah kita mendoakan semoga dua hari tempoh muktamar yang berbaki, berlangsung dengan aman dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PAS lewat malam tadi mengeluarkan kenyataan membidas tindakan penyokong Pakatan Harapan mengambil kesempatan mewar-warkan insiden khemah di muktamar parti itu tumbang ditiup angin kencang sebagai bala Allah S.W.T.
Penyokong Pakatan Harapan mendakwa khemah itu tumbang kerana tindakan PAS mengecam parti sekular DAP yang mengetuai Pakatan Harapan dan anggota partinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).
“Mereka yang memang sakit hati dengan PAS tanpa pertimbangan akal yang waras terus menganggap ia bala Allah S.W.T kepada PAS.
“Makkah khususnya Masjidilharam acapkali juga dilanda ribut. Adakah ia menandakan sesuatu yang buruk Bersabarlah wahai mereka yang sedang diuji,” kata PAS. – MYNEWSHUB.CC