TEKA-TEKI individu yang menggantikan Najip Ali selaku juri tetap rancangan Maharaja Lawak Mega (MLM) telah pun terjawab apabila semalam, Datuk Aznil Nawawi muncul ditugaskan untuk menggalas tanggungjawab itu.
Pada masa yang sama, Aznil berharap pemilihannya sebagai juri tetap sekali gus menggantikan tempat pelawak dan pengacara dari Singapura itu tidak menimbulkan rasa tidak puas hati atau marah peminat republik tersebut.
“Saya akan menjadi orang yang paling bersyukur seandainya keputusan Astro mengundang saya sebagai pengganti Najip akan dapat mengubat rasa kecewa peminat-peminat seni Singapura.
“Secara peribadi, saya adalah kawan Najip. Saya juga mempunyai kelompok peminat saya di sana.
“Justeru, besar harapan saya agar tidak ada peminat di sana (Singapura) yang marah dengan keputusan yang dibuat ini,” ujar Aznil kepada sebuah akhbar tempatan.
Dalam pada itu, Aznil berharap peminat tidak akan membanding-bandingkan caranya menjadi juri dengan Najip kerana merasakan masing-masing mempunyai cara unik tersendiri.
“Saya menggalas tugas ini sebab saya seorang yang profesional dan saya yakin peminat bijak untuk tidak membandingkan saya dengan Najip.
“Najip mempunyai kualiti yang tersendiri dan begitu juga saya. Ayuh lupakan episod yang telah berlaku dan kita raikan permulaan baru pada apa yang berlaku,” kata Aznil lagi.
Terdahulu, Najib Ali dikecam selepas dia bersama empat selebriti Singapura Vernetta Lopez, Mike Kasem, Rishi Budhrani dan Sam See dikatakan menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi rancangan bual bicara OK Choppe!.
Najip bagaimanapun telah memohon maaf atas kesilapannya itu. – MYNEWSHUB.CC