KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana walaupun seri 1-1 menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru malam ini.
Keputusan seri itu tidak menjejaskan kedudukan skuad Rusa yang terus mengungguli carta liga dengan kutipan 26 mata setelah beraksi 10 perlawanan setakat ini.
Pada aksi di Johor Bahru, penyerang berbisa Negeri Sembilan, Bruno Suzuki meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-20 sebelum Jeronimo Barrales menyamakan kedudukan untuk JDT II pada minit ke-40.
Wakil Perak, PKNP FC pula naik satu anak tangga ke kedudukan kedua liga selepas menang tipis 2-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Perak, Ipoh.
Dua gol pasukan PKNP FC dihasilkan menerusi gol sendiri pemain PDRM, Muhamad Eskandar Ismail pada minit ke-24 dan Muhammad Shahrel Fikri pada minit ke-87 manakala gol sagu hati PDRM disumbang pemain antarabangsa Singapura, Muhammad Safuwan Baharudin pada minit ke-82.
UiTM FC turut naik satu anak tangga ke kedudukan keempat liga selepas menang 4-0 ke atas Terengganu di Stadium UiTM, Shah Alam.
Empat gol skuad ‘The Lion Troops’ dijaringkan Do Dong-hyun pada minit ke-33, Akanni Sunday Wasiu (m-44 dan 48) dan Anwarul Hafiz Ahmad pada masa kecederaan babak kedua.
Dalam pada itu, Sabah meraih kemenangan sulung di gelanggang sendiri musim ini apabila menang 2-1 ke atas wakil Pahang, Kuantan FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Pemain import dari Serbia, Ljubo Baranin mengejutkan Sabah menerusi gol pembukaan seawal minit kedua sebelum Sabah bangkit meraih dua gol menerusi Rahman Shah Marajeh pada minit ke-28 dan Maxius Musa pada minit ke-60.
Perlis pula meraih kemenangan sulung musim ini selepas mengatasi pasukan MISC-MIFA 2-0 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Dua gol skuad Singa Utara dijaringkan Mohd Zafuan Azeman pada minit ke-14 dan Muhd Nasharizam Ab Rashid pada minit ke-67.
Turut meraih tiga mata adalah pasukan Kuala Lumpur yang menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Proton, Tanjung Malim.
Dua jaringan Kuala Lumpur dihasilkan gol sendiri pemain ATM, Ikbolion Bobokhonov pada minit ke-50 dan Muhamad Hafiz Mohd Johar pada minit ke-90 manakala ATM meraih gol sagu hati menerusi Pavel Smolyachenko pada minit ke-75. – BERNAMA