KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) membantah tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegur pengusaha restoran mamak yang mengenakan caj melampau ke atas pelanggan.
Pengarah Biro Komunikasi Wanita PAN, Anfaal Saari turut membantah kenyataan Tengku Adnan bahawa adalah haram (disisi Islam) jika peniaga menjual makanan terlalu mahal bagi mencari keuntungan berlebihan.
“Saya berasa hairan dengan keberanian Datuk Seri Tengku Adnan ‘membelasah’ peniaga mamak secara terbuka. Adakah hanya golongan peniaga ini sahaja yang menaikkan harga jualan?
“Atau adakah kerana golongan India Muslim lebih kuat berusaha mencari rezeki dan kurang berpolitik. Jangan sewenang-wenangnya menggunakan perkataan ‘haram’ dengan tujuan menakutkan restoran mamak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anfaal dalam kenyataan itu juga seolah-olah mempertahankan tindakan pengusaha restoran mamak menaikkan harga makanan dan minuman dengan alasan mereka terpaksa.
Tengku Adnan pada 15 April lalu menegur pengusaha-pengusaha restoran mamak yang mengenakan caj melampau ke atas teh tarik dan roti canai.
Menteri Wilayah Persekutuan itu dipetik berkata, walaupun subsidi gula lebih awal dikurangkan 34 sen perkilogram, beberapa restoran menaikkan harga secawan teh tarik sebanyak 50 sen.
“Adakah terdapat satu kilogram gula di dalamnya (secawan teh tarik)? Mengapa? Begitu juga dengan tepung dan minyak masak. Mengapa harga sekeping roti canai naik mendadak?
“Jangan mencatut. Haram (dilarang)!” katanya pada mesyuarat agung tahunan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).
Justeru, Tengku Adnan menyeru pengusaha-pengusaha restoran bukan setakat tidak menjual terlalu mahal, tetapi membantu kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat. – MYNEWSHUB.CC