KUALA LUMPUR – Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menegur anggota Parlimen dan mengingatkan mereka agar mematuhi peraturan yang ditetapkan sewaktu persidangan Dewan Rakyat berlangsung demi kebaikan semua pihak.
Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata ini kerana ada segelintir anggota Parlimen yang tidak mengendahkan keputusan yang dibuatnya dan cuba mewujudkan konfrontasi dengan jemaah menteri.
“Sudah, mungkin sembilan tahun kita bersama di dalam dewan ini dan mungkin ada yang baharu. Semua sudah faham, kalau saya dah buat ketetapan, saya tidak akan mengkaji ketetapan saya.
“Kalau Yang Berhormat ingkar keputusan saya, saya akan mengambil tindakan lain kerana melengahkan perbahasan,” katanya sewaktu sesi perbahasan Rang Undang-Undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2017 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu dibentangkan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching yang menyaksikan sewaktu perbahasan dan penggulungan, beberapa anggota Parlimen bangun kerana tidak berpuas hati dengan jawapan Yap, hingga memaksa Pandikar untuk masuk campur dan menenangkan keadaan.
“Saya sudah buat keputusan supaya jawapan secara bertulis diberikan tetapi Yang Berhormat masih memaksa timbalan menteri memberi jawapan secara lisan, bermakna Yang Berhormat ingkar arahan saya.
“Jika saya arah Yang Berhormat keluar Dewan, Yang Berhormat akan mendapat publisiti, selepas itu Speaker akan dituduh jahat dan Yang Berhormat pula menjadi hero. Begitu kah cara persidangan kita?” tegasnya.
Pindaan RUU itu kemudian dibahaskan dan dipersetujui untuk diluluskan yang antara lain bakal memastikan perkembangan sektor pendidikan tinggi swasta relevan dengan keperluan semasa yang sentiasa berubah-ubah.
“Sektor pendidikan tinggi swasta telah mengalami perkembangan yang pesat dan dinamik. Perkembangan sektor ini telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan modal insan negara,” kata Yap sewaktu membentangkan RUU itu.
Menurutnya proses pindaan RUU itu telah dibuat secara konsultatif dengan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkaitan khususnya wakil persatuan IPTS.
Ketika membahaskan RUU itu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) sempat memuji kementerian atas inisiatif berbentuk sesi pendengaran awam yang katanya bersikap profesional dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkenaan pindaan RUU itu. – BERNAMA