PULAU PINANG – Tindakan PAS yang bermusuhan dengan DAP dan tidak menyertai Pakatan Harapan berkemungkinan akan memberikan kelebihan kepada UMNO Pulau Pinang dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata UMNO negeri bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk pertandingan dua, tiga atau empat penjuru dalam satu kawasan.
Pakatan Harapan dianggotai oleh DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“UMNO sebagai parti yang telah melibatkan diri dalam Pilihan Raya sebanyak 13 kali sejak negara merdeka sudah tentu ada pengalaman. Kita mungkin akan ada kelebihan terpulang kepada tempat yang kita bertanding,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di Tasek Gelugor di sini hari ini.
Zainal Abidin berkata demikian ketika ditanya kemungkinan UMNO akan berdepan pertandingan tiga penjuru berikutan PAS yang kini bermusuhan dengan DAP dan juga PKR.
Namun Zainal Abidin berkata UMNO negeri harus menerima hakikat bahawa sokongan kaum bukan Melayu di Pulau Pinang terhadap parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) agak tidak memberangsangkan.
Beliau berharap pemikiran kaum bukan Melayu negeri akan berubah semasa PRU14.
Sekiranya pemikiran mereka tidak berubah, BN akan melancarkan strategi ‘menafikan majoriti dua-pertiga” supaya kerajaan negeri ini tidak diberi kuasa mutlak untuk melakukan apa sahaja, kata beliau.
Pada 2015, PAS telah memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP dan kini Muktamar PAS ke-63 yang sedang bersidang di Alor Setar, secara sebulat suara pula meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). – BERNAMA