LUMUT – Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Kilometer 7, Jalan Sitiawan-Lumut di sini, pagi tadi.
Leftenan Komander TLDM Mat Rozali Husain, 49, maut di tempat kejadian kerana mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Savvy dalam perjalanan dari arah Sitiawan menghala ke Lumut.
“Kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar pokok besar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurut Tengku Mohd Zailan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA