PELAKON yang mencipta nama menerusi filem ‘7 Petala Langit’, Shima Anuar mengumumkan bakal mengakhiri zaman bujang dengan seorang ahli perniagaan, Mohd. Solih Toha pada Sabtu ini.
Menurut Shima, 27, dia berkenalan dengan Mohd Solih, 41, sejak Jun tahun lalu sebelum mengambil keputusan untuk menerima lamaran lelaki itu.
Menanti debaran detik bakal diijabkabulkan dalam beberapa hari lagi, Shima akui berasa gementar dalam teruja.
“Sudah tentu saya berasa sangat gementar ketika ini. Alhamdulillah segala persiapan majlis pernikahan dan resepsi sudah siap, malah kad pun sudah diedarkan.
“Majlis pernikahan saya diadakan pada sebelah pagi di kediaman keluarga di Rawang. Kemudian majlis resepsi hanya akan diadakan sekali sahaja pada hari sama sebelah malam,” katanya kepada Media Hiburan.
Pasangan ini dijangka bakal diraikan di majlis resepsi yang akan diadakan di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.
Shima bertunang dengan duda anak dua ini pada 17 Disember lalu.
Antara karya lakonan Shima ialah filem Sumpahan Kum-Kum, Flat 3A, drama Shah & Sha dan Cinta Si Wedding Planner. – MYNEWSHUB.CC