ALOR SETAR – Kelebihan jaringan besar yang dimiliki Kedah, memberi keyakinan buat pengendalinya, Tan Cheng Hoe untuk menurunkan barisan keduanya dalam aksi suku akhir kedua Piala FA menentang PKNP FC, 22 April nanti.
Bukan niatnya menyombong tetapi bagi Cheng Hoe kemenangan 6-1 pada aksi pertama di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi, memberi kesempatan untuknya merehatkan beberapa tonggak bagi aksi kedua nanti.
“Saya perlu lihat keadaan pemain nanti, kalau semuanya baik saya akan turunkan pemain simpanan menentang PKNP nanti kerana bulan ini kita juga ada perlawanan Liga Super,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Kemenangan besar itu sudah hampir pasti melayakkan Kedah ke separuh akhir, kecuali PKNP FC mampu membuat kejutan besar di Stadium Perak, Ipoh nanti.
Cheng Hoe mengakui beliau tidak menyangka anak buahnya bermain begitu baik ketika menentang PKNP FC malam tadi sehingga mampu berpesta gol.
“Jika kami dapat kekalkan prestasi sedemikian kami mampu melangkah ke separuh akhir dan saya harap pemain dapat beri keyakinan apabila bertandang ke Stadium Perak nanti.
“Apa yang penting kita dapat kemenangan… kalau pemain mampu ambil peluang jaringkan gol, itulah hasil daripada kerja keras setiap pemain dan semangat juang yang begitu tinggi,” katanya.
Kedah memperoleh gol menerusi Mohd Fitri Omar pada minit ke-15, sebelum pemain PKNP FC, G. Mugenthirran menjaringkan gol sendiri pada minit ke-29.
Pemain import dari Denmark, Ken Ilso Larsen menjaringkan dua gol Kedah pada minit ke-47 dan 90, Liridon Krasniqi (m45) dan Muhammad Syafiq Ahmad (m86) manakala gol saguhati PKNP FC dijaringkan Mohamad Khairul Asyraf Ramli (m85). – BERNAMA