SHAH ALAM: Keterujaan peminat Malique untuk menonton gabungannya bersama Dayang Nurfaizah menerusi duet mereka iaitu Pejamkan Mata pada Anugerah MeleTOP Era (AME2017) hampa kerana individu yang muncul di pentas bukannya pemuda itu.
Sebaliknya suara Malique pada duet berkenaan hanyalah rakaman yang sudah dibuat awal dan kemunculan beberapa lelaki bertopeng di pentas hanyalah gimik semata-mata.
“Memang benar Malique tidak hadir namun Malique merakamkan suaranya secara langsung untuk digabungkan dengan persembahan bersama Dayang,” kata Ketua Format dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris kepada mStar Online.
AME2017 yang berlangsung di Stadium Malawati di sini pada malam Ahad sebelum itu kecoh apabila Malique dikhabarkan akan membuat kemunculan selepas beberapa tahun menghilangkan diri daripada bertemu peminat.
Kemunculan beberapa lelaki yang berselubung dan tidak menampakkan wajah yang menyanyikan bahagian lagu Malique mengelirukan penonton dan membuatkan mereka tertanya-tanya kelibat penyanyi rap itu.
Menjelaskan mengenai perkara berkenaan, Namanzee berkata, pihaknya sudah berbincang dengan syarikat rakaman Malique iaitu Warner Music untuk mendapatkan penyanyi itu mengadakan persembahan bersama Dayang pada AME2017
Bagaimanapun, pihak produksi menghormati keputusan bekas anggota kumpulan Too Phat tersebut yang enggan muncul dan hanya mengizinkan rakaman suara sahaja dilakukan untuk persembahan bersama Dayang.