LABUAN – Pemuda UMNO Labuan akan terus menambah baik program bulanannya ‘Jom Isi Minyak’ bagi motosikal 150 cc ke bawah bagi memastikan program itu sampai kepada kumpulan sasaran.
Ketuanya Datuk Mohd Raffi Ali Hassan berkata antara penambahbaikan yang dilakukan ialah cabutan bertuah yang menawarkan aksesori motosikal dan juga topi keledar, bermula bulan ini.
“Selain itu, kita akan memperkenalkan penyenggaraan motosikal percuma pada Mei atau Jun ini sempena sambutan Aidilfitri,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Jom Isi Minyak’ di stesen minyak Petronas di Saguking, di sini malam tadi.
Mohd Raffi yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, berkata program itu juga telah diperluaskan ke semua cawangan UMNO di Wilayah Persekutuan bermula bulan ini hingga akhir tahun.
“Separuh daripada peruntukan itu disalurkan oleh (Menteri Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan separuh lagi oleh UMNO cawangan terbabit,” katanya. – BERNAMA