KUALA LUMPUR – Pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng, yang mahu menawan Gunung Everest, akan ke Lobuche, Nepal, yang terletak 4,910 meter di atas paras laut, esok dalam perjalanan ke Everest Base Camp.
Lee, 69, dan anggota pasukannya kini berada di Dingboche yang terletak 4,410m atas paras laut, selepas tiba di sana semalam.
“Cuaca agak baik dan kami dapat menikmati sinaran matahari. Saya boleh katakan kami semua berada dalam keadaan baik.
“Esok kami akan bergerak dari Dingboche ke Lobuche, satu laluan yang agak sukar,” katanya dalam rakaman audio yang dihantar ke Bernama, rakan media pendaki tertua negara yang dalam misi sampai ke puncak tertinggi dunia itu.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Lions Mount Everest Expedition (MEE), Sherine Leong berkata laluan ke Lobuche akan mengambil masa enam jam, bergantung kepada keadaan cuaca.
Katanya Lee melakukan latihan penyesuaian hari ini sebelum bergerak ke Lobuche.
Selepas Lobuche, Lee dijangka meneruskan perjalanan ke Gorakshep (5,164m) pada 11 April sebelum sampai ke Everest Base Camp (5,380m) pada 12 April.
Lee dan pasukannya sampai ke Kathmandu pada 1 April lepas.
Lima pendaki yang bersamanya adalah Eugene Kwan Jyh Sin, 47, Chong Nyuk Kooi, 49, Teng Hee Weng, 48, serta Berdych Tan Teck Chai dan Jack Oh Jin yang masing-masing berusia 32 tahun.
Mereka akan menemani Lee sehingga ke Everest Base Camp sebelum Lee menyambung perjalanannya ke puncak gunung itu dalam ekspedisi yang dianjurkan Lions Club of Port Dickson Pantai.
Pada Mei tahun lepas, Lee terpaksa membatalkan peringkat akhir pendakiannya ke puncak Gunung Everest apabila sampai ke Kem III pada ketinggian 7,200m kerana cuaca buruk. Ketinggian Gunung Everest ialah 8,848m.- BERNAMA