KUALA LUMPUR – Istana Budaya yang sinonim dengan penganjuran pementasan teater dan konsert, buat julung kalinya bakal menganjurkan pertandingan formasi tarian, “Malaysian Floor Pattern Sport Dance Competition” selama tiga hari bermula 26 April ini.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani berkata menariknya, pertandingan yang diinspirasikan daripada program antarabangsa ‘World Championship Formation Standard’ itu turut melibatkan pergerakan tarian tradisional joget dan zapin.
“Istana Budaya sentiasa mencari idea di luar kotak dan mahu menampilkan sesuatu yang lain dan unik serta memberi dimensi baharu terhadap pertandingan seni persembahan dan sukan,” katanya dalam sidang media yang diadakan sempena pertandingan itu di sini, hari ini.
Formasi tarian atau pola lantai adalah gerak tari yang dihasilkan atau diolah semula berdasarkan pergerakan dinamik, susunan lagu dan busana.
Juhari berkata penyertaan pertandingan terbuka dari peringkat kumpulan profesional dengan tawaran hadiah wang tunai berjumlah RM3,500 dan RM2,500 bagi kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.
Setiap kumpulan perlu dianggotai 12 orang dan tarikh tutup penyertaan adalah pada Jumaat ini. – BERNAMA