KUALA LUMPUR – Awal-awal lagi parti pembangkang sudah kelihatan sangat cemas untuk berhadapan Barisan Nasional (BN) dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Situasi cemas itu hingga ke peringkat Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memaklumkan beliau mahu menghantar memorandum kepada Badan Komanwel berhubung pilihan raya di Malaysia.
Beliau mendakwa memorandum itu dibuat kerana kononnya pilihan raya di Malaysia yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah adil selama ini.
“Masalah bebanan ekonomi akan terus membebankan rakyat akibat sistem pilihan raya yang tidak adil dan dimanipulasi parti pemerintah.
“PKR bakal mengemukakan memorandum kepada Badan Komanwel untuk memastikan SPR memenuhi tuntutan piawaian antarabangsa di dalam pelaksanaan proses pilihan raya yang bersih dan adil,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ironinya, pilihan raya umum di Malaysia yang didakwa PKR penuh dengan penipuan dan salah guna kuasa oleh SPR menyaksikan beberapa negeri sedang diperintah oleh pembangkang.
Umum bagaimanapun kini mula menyedari pembangkang hanya akan berkata pilihan raya di Malaysia adalah adil hanya jika mereka yang memenangi pilihan raya tersebut. – MYNEWSHUB.CC