BANGKOK – Cerita warga asing khasnya pelancong diculik bukan sahaja boleh menjejaskan imej Thailand, malah memberi gambaran negara itu sebagai berisiko dilawati dan polis tidak buat kerja.
Namun kes kehilangan seorang aktivis propembangkang Malaysia, Peteri Chong konon dirinya diculik di Thailand sehingga menjadi tular dalam kalangan netizen antikerajaan, menyebabkan polis negara itu mula bertindak.
Semalam, agensi berita rasmi Bernama melaporkan bahawa pihak polis Hatyai tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan aktivis itu diculik di bandar peranginan popular tersebut dan dibawa ke Pattaya baru-baru ini.
Ketua Polis Hatyai, Kolonel Kittichai Sankatavorn berkata pihaknya akan membuat laporan terhadap Peter atas dakwaan cuba mereka cerita palsu, sekiranya terbukti tiada laporan polis berhubung penculikan itu pernah dibuat.
“Jika didapati tiada laporan (polis) yang dibuat di mana-mana balai, maka Polis Hatyai sendiri akan membuat laporan terhadap beliau (Peter) kerana membuat cerita rekaan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi Isnin.
Bagaimanapun, katanya, polis Hatyai tetap menyiasat dakwaan Peter, yang merupakan pembantu Anggota Parlimen Subang, R. Sivarasa, dengan meneruskan pemeriksaan di balai-balai polis berhampiran serta polis pelancong.
Kittichai berkata, Polis Diraja Thailand juga akan berhubung dengan Polis Diraja Malaysia bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung dakwaan aktivis itu diculik di Hatyai, destinasi popular untuk pelancong Malaysia.
Baca: Aktivis Antikerajaan Konon Diculik Masuk Thailand?
Juga: Aktivis Dilaporkan Hilang, Peter Chong Sudah Balik
“Kita ingin tahu di balai polis yang mana beliau pernah buat laporan polis sekiranya memang benar beliau membuat laporan polis,” katanya merujuk kepada bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang berusia 54 tahun itu.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata bahawa Peter memberitahu dirinya diculik ketika berada di Hatyai dan dibawa ke Pattaya, sebelum dibebaskan dan pulang ke tanah air.
Amar Singh berkata aktivis itu memberitahu bahawa dia pergi ke Hatyai untuk bertemu sumbernya berhubung kes kehilangan Paderi Raymond Koh Keng Joo, jauh beza daripada kisah asal ditularkan penyokong propembangkang.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitter mengumumkan Peter selamat pulang dari Pattaya dengan menaiki pesawat Malindo Air setelah memasuki Thailand dengan bas pada 7 April lalu.
Peter dilaporkan hilang sejak 6 April setelah kali terakhir dilihat di kediamannya di Bukit Ceylon di Petaling Jaya sebelum polis mengesannya memasuki Thailand melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah keesokannya.
Sebuah badan propembangkang Bersih sebelum ini mendakwa beberapa aktivis pembangkang konon ‘hilang’ dan menuduh pihak polis berdiam tidak melakukan apa-apa untuk mengesan mereka. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA