KUALA LUMPUR – Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito hari ini melawat Muzium Negara sebagai sebahagian daripada atur cara lawatan lima hari baginda di Malaysia.
Ketibaan Naruhito di muzium itu pada 9.45 pagi, disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A. Tambi dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.
Pada lawatan kira-kira satu jam itu, baginda diberikan taklimat tentang sejarah kerajaan Tanah Melayu, era penjajahan dan proses transformasi dan pencapaian Malaysia sejak merdeka pada 1957.
Muzium Negara dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra Alhaj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 31 Ogos, 1963.
Pewujudan Muzium Negara diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Naruhito juga dijadual menghadiri Pertandingan Pidato Bahasa Jepun Ke-14 di Kelab Jepun Kuala Lumpur, menerima kunjungan hormat “Malaysians Associated with Japan” dan menghadiri majlis santapan negara dihoskan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada hari ini.
Lawatan Putera Mahkota Jepun itu adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia-Jepun. – BERNAMA