PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) menyasarkan kehadiran 9.2 juta pelancong dari dalam dan luar negara ke Putrajaya tahun ini berbanding 8.9 juta tahun lepas.
Presidennya Datuk Seri Hasim Ismail berkata kehadiran pelawat ke pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu dijangka meningkat berikutan penganjuran pelbagai acara bertaraf antarabangsa serta lokasi-lokasi tarikan pelancong.
Katanya pada tahun lepas, pelancong luar negara paling ramai melawat Putrajaya adalah dari China, Korea, Jepun dan Singapura.
“Tahun ini terdapat 34 acara antarabangsa dijadualkan di Putrajaya antaranya Powerman Asia. Selain itu, kita juga ada program tahunan seperti Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya 2017, di sini hari ini.
Menurutnya program yang julung kali diadakan itu bermula bulan ini hingga Julai nanti bagi mempromosi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan yang memaparkan seni bina bangunan unik dan keindahan landskap semula jadi dari perspektif dan kreativiti peserta pertandingan.
Hasim berkata pertandingan itu dibuka secara percuma dan terbahagi kepada tiga kategori iaitu seni bina Putrajaya, alam semula jadi atau landskap Putrajaya,dan fotografi dron.
“Pertandingan kategori dron ini merupakan kategori yang pertama dipertandingkan di Malaysia dan sudah tentu akan memberi cabaran dan pengalaman berbeza kepada para peserta.
“Pihak kami telah mendapat kebenaran untuk peserta yang menggunakan dron dan mereka hanya perlu mendaftar dengan urus setia,” katanya.
Menurutnya pertandingan itu menawarkan hadiah berjumlah RM34,000 dengan juara bagi setiap kategori bakal membawa pulang wang tunai RM4,000, naib juara (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000) serta lima hadiah sagu hati bernilai RM200.
Pemenang juga akan menerima hadiah iringan berupa aksesori kamera yang ditaja MyPutrajayaNews, katanya.
Maklumat mengenai pertandingan itu boleh diperoleh melalui laman sesawang PPj www.ppj.gov.my dan laman sosial www.facebook.com/putrajaya atau hubungi talian 03-8887 7736 atau 03-8887 7276. – BERNAMA