SHAH ALAM – Tahap penggunaan produk inovasi Malaysia dalam kalangan rakyat di negara ini masih rendah berikutan mereka kurang yakin dengan produk yang dihasilkan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Md Diah berkata walaupun pelbagai usaha telah telah dilakukan kerajaan termasuk mengkomersialkan produk berkenaan, namun sambutan masyarakat terhadap produk inovasi tempatan kurang memberangsangkan.
“Kita mempunyai pendidikan dan penyelidikan yang baik yang menjadi asas kepada produk inovasi tersebut…namun permintaan dan sambutan masyarakat terhadap produk berkenaan buat masa ini dilihat masih lagi perlahan.
Bagaimanapun kita akan terus mempergiatkan usaha dalam memperkenalkan dan mempromosikan produk inovasi ini ke seluruh negara supaya masyarakat lebih percayakan terhadap produk tempatan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Festival Pendidikan Sains dan Teknologi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga akan melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan minat masyarakat terutamanya pelajar terhadap bidang sains.
Beliau berkata ia kerana bidang sains adalah sebahagian daripada kehidupan masyarakat zaman kini yang lebih berteraskan kepada teknologi.
“Seperti gajet atau telefon bimbit yang kita pakai, yang mana ia turut melambangkan kecanggihan teknologi komunikasi pada hari ini.
Oleh itu, kita mahu masyarakat termasuk pelajar diberi pendedahan terhadap bidang sains menerusi program berkaitan yang akan dirancang MOSTI seperti program akan datang iaitu Karnival Pameran Inovasi Kebangsaan 2017,” katanya.
Abu Bakar berkata karnival yang bakal berlangsung selama seminggu bermula 29 September di perkarangan Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu bertujuan memperkasakan sains agar ia berkembang seiring dengan tahap pendidikan pelajar. – BERNAMA