MAPUTO – Polis Mozambique dan pihak berkuasa Kastam merampas tanduk badak sumbu seberat 10.5 kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Maputo, kata seorang jurucakap polis.
Tanduk itu disembunyikan di dalam kotak aluminium dan berjaya dikesan semasa proses daftar masuk, kata jurucakap Polis Bandaraya Maputo Orlando Mudumane.
“Pihak polis belum dapat mengenal pasti pemiliknya. Individu itu melarikan diri sebaik menyedari kotak mengandungi tanduk haiwan itu dirampas polis,” kata Mudumane.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan identiti pemilik kotak berkenaan,” kata Mudumane tanpa mendedahkan dari penerbangan mana kotak itu dikesan dan destinasi terakhir.
Rampasan berlaku seminggu selepas pihak berkuasa Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur merampas 18 tanduk badak, seberat 51.4 kg dari Mozambique via Doha iaitu penerbangan Qatar Airways.
Tanduk berkenaan dibungkus dan diletakkan dalam sebuah peti yang diperakukan sebagai karya seni dan beralamat di Malaysia.
Pihak berkuasa Mozambique menyifatkan rampasan itu memalukan negara kerana sepatutnya semua barangan untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Maputo perlu menjalani proses imbasan dan sepatutnya boleh mengesan 18 tanduk badak berkenaan.
Insiden itu memberi petunjuk jelas terdapatnya pakatan sulit oleh kakitangan lapangan terbang dengan menerima rasuah daripada pedagang haram.
Kedua-dua rampasan itu kemungkinan besar daripada spesis badak Afrika, hitam dan putih dipercayai semakin pupus di selatan Mozambique bersempadan dengan Afrika Selatan.
Ia membuktikan pengedar haram tanduk badak menggunakan Mozambique sebagai laluan transit untuk pasaran Asia yang mampu memberikan pulangan lumayan.
Destinasi utama adalah Vietnam kerana mereka yang berkemampuan percaya serbuk tanduk badak dapat menyembuhkan semua jenis penyakit akibat kanser. – BERNAMA