KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengucapkan tahniah di atas kejayaan pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang dinobatkan sebagai juara dunia bagi acara keirin di Hong Kong semalam.
Katanya, kemenangan anak jati Dungun itu sekali gus merekodkan satu pencapaian yang tidak pernah diduga apabila Azizulhasni yang mendapat jolokan ‘The Pocket Rocketman’ menjadi atlet pertama negara memenangi emas di kejohanan trek dunia yang sudah pasti menjadi rebutan pelumba lain.
“Kejayaan anak Terengganu, Azizulhasni muncul sebagai Raja Acara Keirin selepas memenangi pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI yang berlangsung di Hong Kong Velodrome Park malam tadi benar-benar membanggakan saya dan seluruh rakyat negeri Terengganu.
“Saya yakin dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Azizulhasni dapat memberi inspirasi kepada pasukan berbasikal kita, TSG untuk melahirkan lebih ramai atlet basikal yang berjaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata velodrom yang dijanjikan oleh kerajaan pusat untuk dibangunkan di Dungun sepertimana diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin diharap akan memberi manfaat kepada atlet berbasikal sebagai pusat latihan.
“Kita mengharapkan velodrom tersebut akan menjadi velodrom bertaraf antarabangsa, yang mana semua orang akan datang berlatih di situ. Ia juga bakal menarik lebih ramai peminat acara berbasikal dan melahirkan lebih ramai juara,” katanya.
Katanya, pembinaan velodrom tersebut bukan sahaja dapat menaikkan lagi industri sukan malah sektor pelancongan dan bakal merealisasikan sektor baharu pelancongan sukan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.
“Sekali lagi, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada anakanda Azizulhasni Awang di atas kejayaan dan insya-Allah, saya serta barisan exco kerajaan negeri akan menemui beliau dalam masa terdekat bagi mengucapkan penghargaan kerana berjaya membawa bendera hitam putih kita ke persada antarabangsa,” katanya. – BERNAMA