BERLIN – Seorang remaja memiliki kuku sepanjang 14.8 sentimeter selepas tidak memotongnya sejak tiga tahun lalu.
Simone Taylor, 16, mengambil masa tiga jam untuk mewarnakan kukunya malah dia menggunakan beberapa botol pengilat kuku setiap bulan.
Remaja dari Nuremberg, Jerman itu berkata, antara soalan lazim yang diajukan kepadanya adalah mengenai cara dia menjaga kebersihan terutama ketika membuang air.
“Saya tiada masalah memberus gigi atau membuang air. Peliknya, itu antara soalan pertama setiap kali orang melihat kuku saya.
“Sebenarnya lebih sukar untuk saya mandi kerana kadangkala kuku saya tersangkut pada rambut jadi saya perlu sentiasa berhati-hati,” katanya.
Dia yang tidak memotong kuku sejak Ogos 2014 mengaku sukar memegang pen atau menaip, seterusnya menyukarkan pembelajarannya.
Tetapi itu tidak menghalangnya apabila dia mengubah gaya menaip dengan menggunakan buku jarinya.
“Saya juga tidak boleh menyertai aktiviti fizikal termasuk pendidikan jasmani,” katanya.
Menurutnya, dia memutuskan membela kukunya selepas menonton video seni rias kuku dalam talian.
Simone membelanjakan kira-kira RM138 untuk menjaga kukunya setiap bulan. – Agensi/myMetro Online