KOTA BHARU – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditemui mati lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Sungai Pak Mat Akar, Wakaf Mek Zainab di sini tengah hari tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Redzuan Baharuddin berkata mangsa Mohd Shahiram Hakim dikatakan tenggelam kerana dipercayai tidak mahir berenang.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada pukul 12.03 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian bersama 12 anggota 10 minit kemudian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian didapati memang benar ada kes lemas melibatkan seorang remaja dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 2 yang dikatakan mandi bersama tiga rakannya,” katanya ketika dihubungi.
Tiga lagi rakan mangsa terselamat.
Mohd Redzuan berkata operasi mencari dan menyelamat yang turut melibatkan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) balai bomba itu akhirnya menemukan mayat mangsa kira-kira dua meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas, pada pukul 12.50 tengah hari.
Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk dibedah siasat. – BERNAMA