BESUT – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memperuntukkan sebanyak RM1.15 bilion untuk melaksanakan 34 projek di Terengganu tahun ini bagi menangani masalah seperti banjir, hakisan pantai dan tebing sungai serta pemuliharaan alam sekitar.
MenterinyaKerajaan berkata ia membabitkan peruntukan sebanyak RM1.12 bilion bagi pembangunan 14 projek utama, manakala bakinya melibatkan 10 projek kecil.
“Kesemua projek ini yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu adalah bagi membantu rakyat di negeri ini menangani masalah seperti banjir, hakisan pantai dan tebing sungai, pemendapan muara serta yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar dan sumber asli.
“Usaha yang dibuat ini bukanlah bermusim tetapi dijalankan secara berterusan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut di sini, hari ini.
Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Anggota Parlimen Besut yang juga Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Wan Junaidi berkata antara projek besar yang dijalankan adalah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kemaman (RM300 juta), pemuliharaan muara Sungai Setiu (RM150 juta), pemuliharaan Sungai Paka (RM150 juta), pemuliharaan Sungai Merchang (RM43 juta), Rancangan Tebatan Banjir Kemasik (RM60 juta).
Selain itu, ia juga melibatkan projek naik taraf Tebatan Banjir Kemasik (RM60 juta), naik taraf ban Pantai Lagun Setiu (RM10 juta), pemuliharaan dan naik taraf Sungai Cepuh, Telemong (RM15 juta), tebatan banjir Guntung Luar, Setiu (RM5 juta), tebatan banjir Kuala Terengganu Utara (RM10 juta) dan tebatan banjir Gong Kiat, Kuala Terengganu (RM7 juta).
Mengenai pemuliharaan muara Sungai Besut pula, Wan Junaidi berkata ia melibatkan peruntukan sebanyak RM250 juta dengan pembinaannya dimulakan sejak Disember lepas dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Beliau berkata pemuliharaan itu membabitkan benteng pemecah ombak sepanjang 3 kilometer dan akan memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat terutama nelayan di daerah ini.
“Benteng pemecah ombak ini akan bertindak sebagai zon penampan kepada bot serta perahu nelayan daripada dirosakkan ombak besar serta tiupan angin yang kuat ketika musim tengkujuh.
“Selain itu, kita juga telah menambak lapan hektar tanah di kedua-dua belah muara yang berpotensi dijadikan sebagai bandar di pesisiran sungai, sekali gus memberi nilai tambah kepada transformasi Terengganu,” katanya. – BERNAMA