NEW DELHI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menafikan laporan bahawa kadar bayaran visa telah meningkat dari RM180 kepada RM456 untuk rakyat Malaysia melawat ke India.
“Tidak ada kenaikan caj untuk visa selama enam bulan. Malah, India sedang mewujudkan kategori baharu iaitu visa selama satu tahun,” katanya pada majlis resepsi untuk pegawai kerajaan dan ahli perniagaan Malaysia yang mengiringi beliau pada lawatan rasminya ke India di sini, malam tadi.
Beliau juga berkata Malaysia tidak memperkenalkan skim baharu visa untuk pelancong dari India dengan mengekalkan visa ketibaan percuma jika pelancong dari negara itu tinggal di Malaysia sehingga 15 hari.
Rakyat Malaysia meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan negara itu selepas gambar ‘screenshot’ memaparkan struktur kadar baharu caj visa berkuat kuasa 1 April lepas yang kononnya dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur telah ditularkan.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, T.S. Tirumurti juga menafikan kenaikan kadar bayaran visa, sambil menjelaskan bahawa kontroversi itu disebabkan oleh kekeliruan awal terhadap jenis visa.
“Caj bayaran visa selama enam bulan untuk pelancong Malaysia dan bayaran untuk jenis visa lain akan kekal. Kami sebenarnya akan memperkenalkan visa untuk tempoh selama satu tahun,” katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, visa selama setahun itu akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia melawat berulang kali manakala permohonan visa dalam talian juga akan memudahkan pelawat berkunjung ke negara itu.
Malah, rakyat Malaysia berketurunan India juga digalak memohon Kad Kewarganegaraan Luar Negara India (OCI), yang membolehkan pemegang kad tersebut membuat kunjungan tanpa terhad dan tinggal di India, katanya.
“Kami akan terus melakukan inovasi bagi memudahkan rakyat Malaysia melawat India. Permohonan dalam talian akan lulus dalam tempoh dua hari sebaik bayaran dalam talian dilakukan dan visa dikeluarkan semasa ketibaan,” katanya.
Pada tahun 2015, sejumlah 722,141 pelancong India datang ke Malaysia berbanding 272,941 pelancong Malaysia yang melawat ke negara tersebut. – BERNAMA