SUNGAI PETANI – Polis memohon saksi kes kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 75.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, kira-kira pukul 4.30 pagi ini, agar tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata dalam kejadian itu, seorang penunggang motosikal, Shuhara Nizam Ahmad Saad, 37, cedera parah dan maut di tempat kejadian.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini polis belum menerima laporan daripada mana-mana saksi kejadian, namun dipercayai lebih daripada sebuah kenderaan terlibat dalam kemalangan itu.
“Justeru kita memohon agar mereka tampil membuat laporan polis di balai berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Muda, Insp. Adilah di talian 04-4232222 atau 010-2320884,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata mangsa yang berasal dari Flat Simpang Kuala, Alor Setar, mengalami kecederaan parah di kepala, badan serta kaki dan mayatnya ditemui anggota PLUS yang sedang melakukan rondaan di lebuh raya pagi tadi.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat. – BERNAMA