PELAKON Sara Ali akhirnya mengakui dia tidak lagi memakai hijab sebaliknya sudah meninggalkan imej tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Menurut aktres genit berusia 26 tahun itu, sepanjang setahun menggayakan imej bertudung, dia tidak pernah melakukannya dengan kerelaan hati sebaliknya didorong oleh sesuatu pekara pada ketika itu.
“Saya ingat boleh buat (bertudung) tapi tidak, kerana saya buat benda ini bukan kerana diri sendiri tapi kerana sesuatu.
“Sesuatu ini kalau boleh saya tak nak bincangkan, perkara dah berlaku dan kita lepaskan,” katanya seperti yang dipetik menerusi video yang disiarkan langsung menerusi laman Facebook miliknya, sebentar tadi.
Menerusi video berdurasi 15 minit itu, Sara turut mengakui apa yang dilakukannya itu bukanlah sesuatu perkara yang boleh dibanggakan memandangkan bertudung merupakan tuntutan buat semua wanita beragama Islam.
Namun, dia bersyukur kerana kedua orang tuanya memahami kemahuan hatinya yang enggan lagi hipokrit dengan imej yang dibawakannya.
“Tak ada keluarga yang bangga dengan keputusan ini lebih-lebih lagi kita beragama Islam.
“Apa yang berani saya cakap memang keluarga saya menyokong seratus peratus walaupun mereka tidak setuju tapi mereka akur juga dengan keputusan ini.
“Sudah lama saya tak bertudung namun baru sekarang saya sedia untuk jelaskan dengan cara yang baik.
“Selama ini apabila saya keluar pun, saya rasa bersalah kerana kotorkan imej tersebut (wanita muslimah).
Tapi saya rasa tak betul apabila lakukan bukan untuk diri sendiri tapi kerana perkara lain. Saya pun tak nak menipu lagi,” ujarnya lagi.
Trend lucut tudung mula ‘diperkenalkan’ oleh pelakon Uqasha Senrose, kemudian disusuli penyampai radio iM4U, Ira Mohd Amin. – MYNEWSHUB.CC