ROMPIN – Seorang ibu tunggal di Kampung Merlak di sini cedera selepas bergelut dengan dua lelaki yang memecah masuk rumahnya pada kira-kira 3.30 pagi, semalam
Mangsa Mariani Edi, 52, yang terkejut dengan kejadian itu juga tidak menyedari dirinya cedera semasa memandu ke rumah anak sulungnya, Sabariah Burhanalis, 35, di Felda Selendang 4 di sini, bagi meminta bantuan selepas dapat melepaskan diri.
Sabariah berkata emaknya tiba di rumahnya sekitar pukul 5 pagi dalam keadaan cedera di muka dan tapak tangan, serta berulang kali memberitahu beliau telah dirompak.
“Emak beritahu dia tidak boleh menghubungi saya kerana telefon bimbitnya diambil perompak. Bila agak tenang, emak cerita yang dia ditindih, mukanya ditutup dan ada parang diacukan di lehernya manakala tangan dan kakinya diikat.
“Emak kata dia terpaksa meronta kerana sukar untuk bernafas menyebabkan berlaku sedikit pergelutan yang menyebabkan dia cedera,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Sabariah berkata emaknya bernasib baik kerana menyimpan pisau di bilik, yang digunakannya untuk memotong ikatan pada tangan dan kaki.
“Emak juga terpaksa berusaha untuk keluar dari rumah kerana perompak itu mengunci pintu rumah dari luar. Walaupun cedera, kami bersyukur kerana emak selamat dan berjaya keluar dari rumah,” katanya.
Sabariah berkata mereka percaya perompak itu masuk ke rumah emaknya melalui tingkap dapur selepas memotong besi di tingkap itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata anggaran kerugian ialah sekitar RM4,000.
“Antara barangan yang dilarikan perompak yang dipercayai warganegara Indonesia ialah dua pasang subang emas, dua buah telefon bimbit, pelbagai jenis kad prabayar bernilai RM400 dan kad pengeluaran wang automatik,” katanya. – BERNAMA