KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor memberi jaminan setiap rakyat Malaysia konon akan menerima Elaun Sara Hidup (COLA) daripada kerajaan jika Pakatan Harapan berjaya merampas pemerintahan negara ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengerusinya, Hassan Karim berkata, kerajaan Pakatan Harapan berjanji akan turut menetapkan gaji minimum baharu yang jauh lebih tinggi untuk semua pekerja di Malaysia yang ketika ini sebanyak RM1,000 sebulan.
“Saya menggesa Menteri Sumber Manusia segera melaksanakan COLA serta penetapan gaji minimum baharu dapat dikuatkuasakan untuk setiap pekerja di Malaysia.
“Jika Menteri Sumber Manusia gagal berbuat demikian, maka pilihan lain yang rakyat boleh buat adalah dengan menukar kerajaan melalui pilihan raya. Pakatan Harapan komited membantu rakyat,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Hassan turut membayangkan rakyat Malaysja konon bakal hidup dalam penuh kemewahan dan kesenangan jika rakyat memilih Pakatan Harapan untuk memerintah Malaysia.
Bagaimanapun, apa yang dinyatakan itu jauh berbeza dengan keadaan sebenar berlaku di Pulau Pinang dan Selangor apabila menyaksikan rakyat dua negeri dikuasai Pakatan Harapan ditindas tanpa pembelaan.
Pakatan Harapan yang dianggotai PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) merupakan sebuah gabungan parti pembangkang yang diketuai parti sekular DAP selepas Pakatan Rakyat dibubarkannya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan parti baharunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan turut menyertai Pakatan Harapan.
Mahathir menubuhkan PPBM gara-gara berdendam dengan UMNO kerana kerajaan Pusat enggan memenuhi kepentingan perniagaan dan politik kroni-kroninya. – MYNEWSHUB.CC