KUALA LUMPUR – Prinsip dan kriteria Skim Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) akan dikaji semula agar ia setanding dengan standard antarabangsa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata bagi tujuan itu kementeriannya akan mengadakan misi ke luar negara untuk mempromosi MSPO serta mengadakan kerjasama dengan pihak kedutaan dari negara import utama sawit negara, di Kuala Lumpur.
“Baru-baru ini kami ada mesyuarat dengan 14 duta dari negara Eropah dan kami juga aturkan lawatan anggota-anggota Parlimen Kesatuan Eropah ke Parlimen negara,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Jerantut) yang ingin tahu usaha dilakukan kerajaan untuk mendapatkan pengiktirafan sijil MSPO di peringkat antarabangsa.
MSPO merupakan kod undang-undang standard mengenai amalan terbaik mulai penanaman kelapa sawit hingga ke pemprosesan minyak sawit dan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2018.
Mah berkata pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO dibuat secara berperingkat mulai 31 Dis tahun hadapan dan pelaksanaan sepenuhnya bermula 31 Dis 2019 bagi penjenamaan minyak sawit tempatan.
Menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (BEBAS-Bandar Tun Razak) mengenai kualiti MSPO negara, beliau berkata 95 peratus kriteria MSPO adalah sama dengan standard pensijilan dunia masa ini malah lebih murah dan bersesuaian di negara ini. – BERNAMA