IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menegur sikap pengusaha pelancongan yang tidak menghormati peraturan dan kawalan ditetapkan pihak berkuasa sehingga menyebabkan Taman Negeri di Pulau Sembilan, Bagan Datuk yang unik dan istimewa kini terjejas.
Sehubungan itu, baginda memuji keputusan kerajaan negeri menutup taman tersebut kepada para pelancong sehingga digubal dan diperkenalkan langkah-langkah lebih mantap untuk melindungi ekosistem dan biodiversiti di kawasan berkaitan.
“Produk pelancongan terutama berkaitan dengan alam semula jadi perlu dilindungi daripada dirosakkan kerana aktiviti komersial yang keterlaluan,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.
Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi sebelum ini mengumumkan Pulau Sembilan akan ditutup kepada sebarang aktiviti pelancongan berkuat kuasa 1 April disebabkan berlaku kerosakan ekosistem alam.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin mahu keaslian Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar dilindungi dan dipertahankan sebagai satu warisan dengan mengekalkan saiz dan reka bentuknya.
Masjid Ubudiah disenaraikan berada di tempat keempat dalam kalangan lima masjid yang cantik lagi menakjubkan di dunia selain Masjid Abu al-Abbas al Mursi di Iskandariah, Mesir; Masjid Kul Sharif di Kazan, Rusia; Masjid Biru di Istanbul, Turki dan Masjid Sheikh Zahid di Emiriah Arab Bersatu, titah baginda.
Sultan Nazrin turut memuji usaha kerajaan negeri yang komited dalam program restorasi landskap di persekitaran paya laut dan kawasan pesisir pantai bagi menghindar atau meminimumkan hakisan pantai seterusnya mengurangkan risiko bencana tsunami.
Baginda bertitah usaha telah dirintis sejak tahun 2005 dan sehingga Disember 2016 sebanyak 1.12 juta pokok bakau dan spesies bersesuaian telah ditanam di kawasan seluas 323.6 hektar paya laut dan pesisiran pantai.
“Tenaga Nasional Berhad dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia turut melancarkan program menanam 1,000 batang pokok bertujuan memupuk kesedaran rakyat untuk sama-sama menghargai alam sekitar dan mengambil tanggungjawab memuliharanya.
“Program tersebut sewajarnya dijadikan contoh untuk diperluaskan di pelbagai peringkat, di setiap bandar, mukim dan kampung, di semua jabatan, di masjid dan rumah-rumah ibadat, oleh pelbagai agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah sekolah adalah institusi paling baik untuk menyemai kesedaran menghargai serta memulihara alam sekitar dalam kalangan pelajar dan kawasan sekolah wajar dibangunkan dalam persekitaran taman yang kaya dengan pelbagai pohon dan tumbuhan.
Baginda bertitah mengambil kira lokasi kawasan industri, projek pembangunan, pembukaan tanah, perlombongan dan pembalakan, 35 sungai dikenal pasti terdedah kepada pencemaran yang tinggi.
“Daripada pemantauan menunjukkan 24 sungai memiliki kategori bersih, 10 sungai berada pada status sedikit tercemar dan satu sungai berstatus tercemar,” titah Sultan Nazrin.
Selain itu, baginda bertitah dianggarkan secara purata 33,000 tan metrik sisa pepejal dibuang setiap hari, menyamai 12 juta tan metrik setahun dan daripada jumlah itu, 95 peratus sisa pepejal berakhir di tapak pelupusan dan hanya lima peratus diproses serta dikitar semula.
Dalam konteks negeri Perak pula, baginda bertitah jumlah buangan sisa pepejal di negeri itu pada tahun 2016 mencecah lebih 861,370 tan metrik iaitu 20 peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.
“Jumlah buangan sisa pepejal yang terus bertambah, memerlukan kerajaan negeri merancang secara serius agar kegiatan kitar semula dimaksimumkan dan sisa lebihan diminimumkan.
“Kesedaran terhadap kerosakan alam disebabkan oleh sisa bahan plastik wajib diberikan perhatian, dan pengguna disedarkan untuk meminimumkan penggunaan beg-beg plastik,” titah baginda. – BERNAMA