PENYANYI utama kumpulan nasyid Hijjaz, Munif Ahmad memberitahu mereka berasa terkejut apabila persembahan nyanyian minggu pertama konsert Gema Gegar Vaganza Sabtu lalu mendapat perhatian dan menyentuh perasaan penonton.
Menurut Munif, dia tidak menyangka kumpulan Hijjaz akan terpilih sebagai pemenang Gema Terindah kategori Kenangan Terpahat kerana mereka berhadapan dengan tekanan ketika berada di atas pentas.
“Alhamdulillah, kami sebenarnya tidak menyangka kerana selepas selesai persembahan, saya yakin akan mendapat komen yang negatif kerana saya berasa tertekan menyanyi menggunakan headfon.
“Ia merupakan kali pertama kami menggunakan headfon ketika membuat persembahan sehingga ada ahli kumpulan seperti lari tempo.
“Saya rasa persembahan kami pada malam itu kurang baik jika dibandingkan dengan persembahan sebelum ini, tetapi juri memberikan komen yang positif sehingga kami menjadi pemenang minggu pertama,” katanya kepada mStar Online.
Persembahan itu juga menjadi viral di media sosial sejak awal pagi Ahad dan ia juga disukai oleh mereka yang tidak menontonya di televisyen.
Tambah Munif, lagu Sumayyah itu berjaya menyentuh hati penonton kerana ia merupakan kisah benar pada zaman Rasulullah dan ramai yang menghayati lirik yang mereka sampaikan. -MYNEWSHUB.CC