KUALA NERUS – Masyarakat perlu mengubah persepsi terhadap pelajar lulusan teknikal dan vokasional dengan meletakkan mereka setaraf dengan lulusan universiti lain, bukannya lepasan kelas dua.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam menempuh status negara maju, masyarakat perlu mengubah pemikiran tersebut kerana negara luar telah lama menjadikan pelajar lulusan sedemikian sebagai penggerak utama industri pekerjaan.
“Sehingga kini ibu bapa masih mahukan anak-anak mereka masuk universiti bukan berasaskan teknikal sedangkan di negara maju seperti Jerman telah lama menjadikan vokasional dan teknikal itu sebagai pilihan utama.
“Namun di sini ada yang menganggap ia pilihan kedua setelah gagal memohon universiti berasaskan akademik. Kita perlu ubah persepsi itu dan di bawah kementerian ini kita ada UniKL, Giat Mara dan banyak lagi yang mana kita hendak lahirkan pekerja mahir.
“Apabila ada kemahiran mereka akan dapat gaji yang lebih besar,” katanya ketika sesi soal jawap bersama 432 pelajar daripada pelbagai institusi pendidikan di sekitar pantai timur dalam Program Bicara Komuniti TN50 di sini hari ini.
Program bicara tersebut turut menampilkan pelakon dan pelawak Zizan Razak sebagai moderator serta ikon belia iaitu pelakon Mira Filzah dan Umi Nazeera bagi mendapatkan pandangan dan aspirasi golongan belia dalam pelbagai isu termasuk kemajuan luar bandar.
Menurut Ismail Sabri, cadangan yang dikemukakan akan disenarai pendek untuk dijadikan Dasar Pembangunan Luar Bandar menjelang 2050 yang bakal diumumkan Ogos nanti.
“Pandangan yang dijana daripada sesi ini dijadikan panduan dan asas dalam merangka perancangan strategik dan dasar pembangunan luar bandar menuju kehidupan dan persekitaran lebih baik.
“Sebolehnya kita nak majukan luar bandar sebagai tempat pilihan kita tinggal suatu hari nanti dan luar bandar mempunyai banyak ruang pekerjaan kepada generasi muda,” katanya.
Antara tujuan program tersebut termasuklah menjadikannya sebagai platform memperoleh pendangan kumpulan akar umbi bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap inisiatif kerajaan untuk kesejahteraan masyarakat.
Beberapa pandangan menarik telah diutarakan oleh mereka yang hadir , antaranya mewujudkan kemudahan awam lebih baik di kawasan luar bandar, penyediaan ruang pekerjaan di Felda dan membuka pusat perniagaan di kawasan rekreasi – BERNAMA