AKTRES Ummi Nazeera bakal melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya yang dikenali sebagai Dr. Izzar pada Ogos depan.
Bagaimanapun, tarikh sebenar majlis akad nikah dan resepsi hanya akan diumumkan oleh Ummi pada Jumaat ini.
Pengumuman itu dibuat oleh pelakon Hikayat Merong Mahawangsa itu sendiri menerusi laman Instagramnya beberapa jam lalu.
Terdahulu, dia hanya menyatakan bakal melangsungkan hari bahagia bersama pemuda terbabit selepas Aidilfitri tahun ini.
“Saya dan tunang, Dr. Izzar, akan mengumumkan tarikh berlangsungnya pernikahan dan resepsi pada Jumaat ini.
“Kami memilih Ogos, yang juga bulan kelahiran saya, untuk menyempurnakan separuh tanggungjawab ini. Insya-Allah. Banyak dugaan apabila bertunang ini. Doakan ya!” tulis beliau di laman sosial berkenaan.
Ummi yang bakal berusia 27 tahun pada 20 Ogos depan, menyifatkan tempoh pertunangannya dengan lelaki itu merupakan satu peluang untuk mengenali satu sama lain dengan lebih rapat.
“Alhamdulillah, tempoh pertunangan ini menjadi masa untuk kami mengenali antara satu sama lain, walaupun hanya sebulan sekali kami bertemu. Maklumlah, dia bertugas di sebuah hospital di Sarawak,” ujarnya.
Pasangan ini ditunangkan dalam sebuah majlis tertutup pada 11 Disember tahun lalu. Kedua-duanya berkenalan menerusi ibu pemuda terbabit pada sebuah majlis, 29 Januari tahun lalu. –Ā MYNEWSHUB.CC