KUALA BERANG – Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah mencipta rekod yang sangat baik dari segi pembangunan dan kemajuan negara berbanding rekod pembangkang yang tiada apa-apa yang hendak ditunjukkan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata negara ini telah membangun daripada sebuah negara berasaskan pertanian kepada perindustrian dan kini sedang menuju sebagai negara maju dalam masa dua tiga tahun lagi.
“Kita sudah cukup kelengkapan dari segi infrastruktur, kemudahan yang ada di negara kita dari segi jalan raya, institusi pengajian tinggi dengan latihannya iaitu kita sudah cukup prasarana dan mampu menjadi sebuah negara maju.
“Tetapi pembangkang hanya memutar belit dan memburuk-burukkan kejayaan negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah simulasi pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil di Dataran Pela di sini malam tadi.
Tajuddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang giat berusaha menjadikan negara ini bukan setakat maju namun setaraf di kalangan 20 negara termaju di dunia.
Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata negara ini mampu mencapai sasaran tersebut kerana ia telah mempunyai pelbagai pembangunan termasuk modal insan dan pendidikan.
Sementara itu, mengenai keadaan UMNO di Terengganu yang hanya menang tipis pada pilihan raya lalu iaitu 17-15, beliau berkata rekod tersebut boleh diperbaharui dan yakin BN akan terus kekal memerintah.
“Berkat kerja kuat, BN mampu menawan beberapa kerusi lagi pada pilihan raya umum ke 14 nanti, dan sudah pasti kedudukannya lebih baik daripada yang sudah ada sekarang,” katanya.
Ketika ditanya mengenai hubungan dengan Parti PAS, Tajuddin menyarankan agar parti itu (PAS) dapat bekerjasama dengan UMNO DAN BN dalam apa juga keadaan.
“Kerjasama banyak bentuk, tetapi ada kerjasama. Maknanya kita boleh menolong antara satu sama lain untuk menjadi sahabat seperjuangan.
“Kita tidak boleh bersama untuk menjayakan perjuangan dengan parti-parti seperti DAP, PKR dan sebagainya kerana mereka itu jauh menyimpang. Terutama untuk agama,” katanya. – BERNAMA