SIPITANG – Sejak kemasukan UMNO ke Sabah lebih 25 tahun lepas, parti itu berjaya menyatukan rakyat pelbagai kaum, budaya dan agama di negeri ini, kata Ketua Penerangan parti negeri Datuk Sapawi Ahmad.
Beliau berkata berikutan faktor itu, ia membuka ruang luas kepada kepimpinan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman untuk merancang, melaksanakan dan menjayakan pelbagai pembangunan di Sabah.
“Kehadiran UMNO ke Sabah telah membuka sejarah baharu…sebab itu Sabah merupakan satu-satunya negeri yang ada pemimpin bumiputera bukan Islam jika dibandingkan dengan negeri lain,” katanya kepada pemberita mengenai sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71, di sini, hari ini.
Menurutnya faktor UMNO sebagai teras kepada kestabilan komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah turut membolehkan pembangunan semua peringkat melalui dasar Halatuju Pembangunan Sabah dengan enam Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dilaksanakan dengan lancar. – BERNAMA