GARA-GARA meletakkan kenderaan sesuka hati, seorang wanita terpaksa ‘menadah’ telinga apabila dimarahi seorang pemilik kenderaan dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Bandar Baru Selayang.
Dalam kejadian itu, pemilik kenderaan yang dihalang tersebut mendakwa menunggu selama kira-kira 10 minit sebelum wanita tersebut muncul.
Kenderaan dipercayai jenis Hyundai yang dibawa lelaki tersebut tidak dapat keluar daripada kawasan parkir apabila kereta jenis Myvi milik wanita itu diletakkan di belakang keretanya.
“10 minit aku tunggu, dekat 15 minit, takda aku pecah cermin tarik handbrake. Minta maaf,” kata lelaki tersebut.
Dalam rakaman video yang tular di media sosial kelihatan seorang wanita berbaju merah memasuki dalam kereta Myvi tersebut.
“Apasal engkau ni bodoh sangat… 15 minit aku tunggu… kau ada bayar? Aku bayar tau parking!” kata lelaki itu.
Bagaimanapun, wanita berkenaan tidak menjawab kerana mungkin mengakui kesilapannya dan rakaman tersebut berakhir di situ.
Video rakaman tersebut menjadi tular di media sosial selepas dimuat naik di Facebook sejak semalam.
Netizen mahukan kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada pemandu lain dan sekiranya ada urusan penting dan terpaksa meletakkan kenderaan hingga menghalang laluan, adalah dinasihatkan untuk meninggalkan nota, nombor telefon atau lepaskan brek tangan.
Pemilik kenderaan dinasihatkan untuk tidak menyusahkan pemandu lain kerana akhirnya diri sendiri yang terkena. – MYNEWSHUB.CC