SUNGAI PETANI – Seorang warga emas yang keluar memancing dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya dijumpai hanyut di Sungai Kuala Muda di sini hari ini.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Bomba Nor Hafizah Muhammad Lukman, mangsa, Abu Bakar Udoh, 73, dilaporkan hilang setelah anaknya gagal menghubunginya selepas keluar memancing sejak awal pagi.
“Anak mangsa mengesyaki ayahnya itu lemas apabila perahu yang dinaiki mangsa dilaporkan ditemukan hanyut di sungai berkenaan.
“Pihak kami mendapat maklumat pada kira-kira 10.01 pagi tadi dan sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di bahagian darat sementara Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Sungai Petani dan PPDA Tikam Batu dalam persediaan untuk menelusuri Sungai Kuala Muda dengan menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan.
Nor Hafizah berkata, pihaknya memohon orang ramai tampil membantu memberi maklumat sekiranya ada saksi yang melihat kejadian tersebut agar operasi mencari dan menyelamat dapat dijalankan dengan lebih pantas. – BERNAMA