SARIKEI – Seorang warga emas dijumpai rentung di ruang sebuah bilik tidur manakala seramai 95 penghuni lagi tinggal sehelai sepinggang apabila sebuah rumah panjang 17 pintu di Jalan Ensurai, Sare dekat sini ranap dalam kebakaran awal pagi hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Lowest Anak Selin berusia 62 tahun ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat di ruang bilik tidur pintu nombor dua Rumah Panjang Saba pada jam 2.10 petang semasa membuat kerja-kerja pemugaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Suna Kahar memberitahu terdahulu pihak bomba dan penyelamat dimaklumkan ahli keluarga mengenai kehilangan seorang penghuni warga emas.
“Pasukan Bomba dan Penyelamat terus menjalankan kerja-kerja pemugaran di pintu nombor dua dan pada jam 2.10 petang didapati ada mayat yang sudah rentung di ruangan bilik tidur. Menurut keterangan saksi mangsa dipercayai masuk semula ke bilik untuk mengambil barang,” katanya.
Suna berkata semasa kejadian terdapat 73 orang daripada 96 orang penghuni daripada 17 keluarga berada di dalam rumah panjang tersebut.
Katanya mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Beliau berkata panggilan kebakaran rumah panjang itu diterima pada jam 10.08 pagi dan pasukan dengan kekuatan anggota berjumlah 35 orang telah digerakkan dan telah tiba di lokasi kejadian kira-kira 10.35 pagi. – BERNAMA