PELAKON, Yana Samsudin mengakui menerima banyak tawaran untuk anak lelakinya, Aisy Mateen walaupun dia baharu berusia lapan tahun.
Namun, tawaran tersebut ditolak kerana dia dan suaminya, Fadzil Zahari tidak mahu Aisy bekerja memandangkan usianya yang masih kecil.
Mstar melaporkan, Yana turut bimbang jika anaknya ‘bekerja’ di usia muda akan memberi kesan kepada tumbesarannya.
“Ada tawaran untuk anak saya tetapi kalau memerlukan dia berada dihadapan kamera rasanya mungkin tidak.
“Pada usianya sekarang apa yang dia tengok akan kekal dan saya tidak mahu ia memberi kesan kepada tumbesarannya,” katanya.
Bagaimanapun, Yana atau Norliana Samsudin, 33, akan mempertimbangkan tawaran jika ianya tidak membebankan dan terletak kepada keputusan suaminya.
“Apa yang ditawarkan kepadanya memang rezeki dia tetapi biarlah dia membesar seperti kanak-kanak lain dan biar saya dan suami sahaja yang bekerja,” katanya. – MYNEWSHUB.CC