ISTIQAMAH dan sentiasa bersama kawan-kawan yang dapat membantu mereka untuk terus kuat mempertahankan pendirian: itulah nasihat pelakon Yatt Hamzah, 37, kepada artis-artis yang bahatu berhijab.
Kata Yatt lagi, perkara itu dapat menguatkan semangat mereka dalam menempuh pelbagai dugaan terutama sekali semasa hari-hari awal perubahan dilakukan.
“Saya tidak layak untuk bercakap soal keputusan mereka kembali ke imej asal kerana saya percaya mereka ada sebab tersendiri.
“Namun, apa yang saya boleh cakap agar mereka mencari kawan yang boleh membantu mereka untuk terus istiqamah. Selain itu, mereka juga perlu mencari guru untuk membimbing menjadi lebih baik,” ujarnya ketika diminta berkongsi pendapat tentang keputusan beberapa artis yang kembali kepada imej asal mereka iaitu membuka tudung.
Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta projek raya Elle Zada 2017 yang berlangsung di Hotel Grand Mellinium, di sini, Rabu.
Pada majlis itu turut diumumkan Adam Corrie dan Heliza Helmi sebagai duta pakaian jenama berkenaan.
Sementara itu, Yatt mengakui dia juga pernah melalui pengalaman tersebut yang dianggap antara ujian paling berat apabila berhijrah.
“Saya melalui apa yang mereka rasa sekarang, bukan senang berhadapan dengan ujian itu kerana bidang lakonan sebagai punca pendapatan utama.
“Saya akui pada awal penghijrahan ada produksi yang minta buka tudung dan rezeki dalam bidang itu juga berkurangan. Tapi kita kena ingat rezeki daripada Allah.
“Saya yakin banyak cara lain untuk kita mencari rezeki selepas berhijab,” ujarnya.
Sementara itu, Yatt turut meminta masyarakat agar tidak terus menghentam artis-artis berkenaan hanya kerana perkara sebegitu.
“Saya minta orang ramai jangan menilai orang lain dengan cara luaran. Kita tidak lalui apa yang mereka lalui,” ujarnya lagi. –Â MYNEWSHUB.CC