AYER KEROH – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke perasmian Majlis Tilawah dan Hafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H/2017M di Dewan Seri Negeri, di sini, pada Isnin.
Timbalan Perdana Menteri mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sepatutnya hadir untuk merasmikan majlis tahunan tersebut namun kini berada di India untuk lawatan rasmi sejak kelmarin.
Beliau diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Pada penganjuran kali ini, semua peserta diwajibkan membaca secara bertaranum dengan dua jenis lagu ditetapkan secara berturut-turut dan diadili 15 orang juri dengan barisan jemaah hakim akan dipengerusikan oleh Othman.
Majlis perasmian yang dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung turut disiarkan secara langsung di TV1 dan TV AlHijrah serta melalui radio IKIM.FM selain melalui live streaming laman web TV Jakim menerusi www.jakim.tv.
Buat julung kali juga majlis tahun ini dianjurkan secara melalui kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Jakim, Kerajaan Melaka dan beberapa jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.
Bagi majlis tilawah, seramai 28 peserta iaitu 14 qari dan 14 qariah dari semua negeri di Malaysia mengesahkan penyertaan manakala bagi majlis hafaz pula 79 peserta akan bertanding iaitu enam orang dari setiap negeri.
Ini merupakan pertama kali majlis tilawah dan hafaz peringkat kebangsaan digabungkan manakala Melaka pernah menjadi tuan rumah peringkat tilawah pada 2007 manakala peringkat hafazan pada 2010. – Agensi/Mynewshub.cc