SELEPAS memeriahkan bidang pengacaraan, pelakon dan pelawak Zizan Razak kini terjun ke konti radio pula dan berharap pertukaran ‘angin’ itu disambut baik oleh pendengar.
Zizan atau nama penuhnya Mohd Razizan Abdul Razak, 33, berkata dia hanya menerima tawaran itu selepas dimaklumkan oleh pihak pengurusannya bahawa penyampai lain segmen tersebut akan dikekalkan.
Ini kerana, menurut Zizan, dia enggan menutup periuk nasi mana-mana pihak.
“Buat masa ini, eksperimen kami berempat menerima maklum balas positif daripada pendengar, namun saya belum berbincang dengan lebih lanjut mengenai tempoh kontrak.
Buat sementara waktu ini, kita lihat dulu bagaimana penerimaan orang ramai terhadap percubaan ini,” katanya kepada BH Online.
Tambah Zizan, dia menerima tawaran ini pun kerana menganggap ia sebagai pertaruhan untuk mencuba cabang seni yang berbeza dan oleh kerana tiada sebarang penyingkiran yang akan dibuat, dia terus bersetuju untuk menjayakan kolaborasi ini.
“Alhamdulillah, buat masa ini saya semakin selesa dengan tanggungjawab sebagai penyampai radio. Penerimaan yang positif ini membakar semangat saya untuk terus memberikan yang lebih baik lagi,” katanya lagi
Segmen yang popular dengan gelaran JoHaRa itu sebelum ini dikendalikan oleh Johan, Hanif dan Ray.
Biarpun rutin hariannya kini berubah kerana perlu berada di konti awal pagi, Zizan menganggap ia sebagai perubahan sihat dari segi mental dan fizikal beliau. – MYNEWSHUB.CC