PEJAM celik pejam celik, dalam tempoh 3 tahun, Wawasan 2020 akan sampai kepada tahun akhir perjalannya.
Dari awal kelahirannya, pada tahun 1991 sehingga hari ini, banyak idea murni Wawasan 2020 berjaya dilaksanakan.
Namun, satu realiti yang kita perlu sedar, Wawasan 2020 ini perlukan pewaris baharu yang lebih jitu dalam mendepani realiti masa hadapan yang lebih mencabar.
Tekanan ekonomi global, ancaman fahaman liberal, perang minda dan saingan kuasa antarabangsa merupakan cabaran terbesar Malaysia untuk terus gah di persada antarabangsa.
Menyedari hakikat tersebut, kita perlu bergerak lebih pantas dan proaktif. Atas dasar itu, kerajaan hadir dengan pendekatan baharu yang meraikan idea belia sebagai teras perjuangan, Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Justeru itu, kerajaan kita hari ini sedang gigih mengumpulkan sebanyak mungkin idea untuk diolah dan dijelmakan menjelang tahun 2050.
Berikut merupakan antara 10 saranan anak muda untuk TN50 yang disuarakan dalam media sosial TN50 yang pada hemat kita, perlu diberikan perhatian:
1. Menjadi sebuah negara yang masih ada lagi budaya dan adat resam berlainan tetapi perpaduan tidak lagi diragui menjelang 2050.
2. Mewujudkan urban farming untuk membantu jaminan keselamatan makanan negara menjelang 2050.
3. Mewujudkan sistem pendidikan yang mampu melahirkan graduan holistik dan bukan sekadar dinilai melalui peperiksaan.
4. Pelajar didedahkan bidang kemahiran seawal peringkat sekolah rendah agar mereka mampu untuk lebih berdikari.
5. Mengoptimumkan alam keliling seperti jalan raya yang dijadikan sebagai salah satu sumber tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.
6. Menghasilkan lebih banyak produk ‘original’ sendiri dan mampu dipasarkan ke luar negara.
7. Memupuk “sense of belonging to the environment” agar rakyat lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
8. Membina lebih banyak taman rekreasi awam di Malaysia yang lebih baik dan lengkap untuk beriadah.
9. Memajukan dan mengembangkan teknologi pertanian negara.
10. Mewujudkan agensi dan program angkasa lepas sendiri setanding NASA menjelang 2050.
TN50 ini bukanlah agenda “jahat” untuk mengenepikan Wawasan 2020 tetapi, sebagai langkah seterusnya untuk kita menjadikan perjuangan negara ini lebih relevan untuk tempoh 30 tahun ke depan selepas Wawasan 2020 melabuhkan sauh pelayarannya.
Jadi, apa lagi alasan kita untuk tidak turut serta dalam membina negara idaman kita?
Ayuh bangkit bersama demi kesejahteraan kita, agama dan negara. – MYNEWSHUB.CC
#laskarmalaya