MIRI – Polis menahan 15 wanita warga Vietnam dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran di Bintulu menerusi Op Noda yang dijalankan di dua premis komersial malam tadi.
Ketua Polis Bintulu Supt Zailani Amit berkata, turut ditahan dalam operasi pukul 10.40 malam itu ialah 10 lelaki yang juga pelanggan, seorang lelaki warga Indonesia serta dua penjaga premis tersebut, masing-masing seorang lelaki dan perempuan bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek yang ditahan berumur antara 22 dan 35 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zailani berkata, turut dirampas ialah resit yang mempunyai nama pelanggan, kondom yang telah digunakan,wang tunai dan buku rekod perniagaan.
“Kes disiasat atas kesalahan pelacuran mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan dan melanggar syarat pas lawatan di bawah Seksyen 55B dan 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – BERNAMA