BUKIT MERTAJAM – Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat kes seorang pekerja pusat permainan dan hiburan keluarga cedera dalam kejadian samun di Bandar Perda di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata pekerja berusia 43 tahun itu cedera akibat ditikam ketika bergelut dengan dua lelaki terbabit pada 5.45 pagi dan kini dirawat di Hospital Bukit Mertajam.
Polis menahan dua lelaki berusia 34 dan 35 tahun itu di Bandar Perda pada 5 petang hari yang sama dan merampas wang tunai serta sebuah telefon bimbit milik pekerja itu daripada mereka.
Kedua-dua lelaki itu, yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit dan ejen insurans, mempunyai rekod jenayah dan dadah selain dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 10 kes samun dan mencederakan mangsa di daerah SPT sejak awal tahun ini, katanya hari ini.
Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata polis menahan empat remaja lelaki berusia 15 hingga 17 tahun disyaki geng curi motosikal yang aktif di sekitar daerah SPT dan Seberang Perai Utara dalam serbuan di Seberang Jaya dan Permatang Pauh di sini, semalam.
“Dalam serbuan pertama polis menahan dua lelaki dan merampas sebuah motosikal sebelum menahan dua lagi rakan mereka serta menemui dua motosikal yang dilaporkan dicuri baru-baru ini.
“Kami juga merampas pelbagai rangka kenderaan itu dan komponen motosikal yang dibuang dalam Sungai Sembilang di sini,” katanya. – BERNAMA