IPOH – Kira-kira 2,000 anggota bomba akan terlibat dalam perarakan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 yang akan diadakan di sini Khamis ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahaya Madis berkata anggota berkenaan akan berarak dalam 16 pasukan antaranya Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) dan pasukan Penyelamat di Air serta 14 pasukan jemputan antaranya Kelab Keselamatan Kanak-kanak.
“Kita telah menambah lebih ramai anggota dalam satu pasukan bomba iaitu kira-kira 60 orang tahun ini berbanding 35 anggota satu pasukan pada tahun lepas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Yahaya berkata sambutan bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamat Negara’ itu akan diadakan di hadapan Dewan Bandaraya Ipoh di sini bermula pada 8 pagi dan dijangka disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Beliau berkata sambutan akan diserikan dengan pemeriksaan kawalan kehormat, perarakan anggota perbarisan, pertunjukkan kebombaan, lalu lintas tiga helikopter bomba, perarakan jentera bomba serta perarakan basikal bomba yang digunakan sekitar era 50 dan 60-an.
“Kita akan buka kaunter untuk penyertaan pasukan bomba selain kaunter serta gerai pameran daripada agensi luar seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Pendaftaran serta Jabatan Pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memeriahkan sambutan tersebut, beliau meminta agar majikan dapat memberi pelepasan kepada kakitangan untuk menyaksikannya.
“Saya menyeru orang ramai khususnya warga Perak untuk hadir memeriahkan perarakan yang akan diadakan kerana melihat secara langsung tidak sama dengan kita menonton televisyen,” katanya.
Beliau berkata, dalam mempromosikan sambutan itu, pameran kesedaran awam dan keselamatan kebakaran, senamrobik serta lain-lain telah diadakan sejak 23 April hingga esok di beberapa kawasan di seluruh Ipoh.
“Pada 3 Mei juga, iaitu malam sebelum sambutan, acara majlis tahil dan doa selamat akan dijalankan di Masjid Sultan Idris Shah II di sini,” katanya sambil menambah hebahan melalui stesen Perak FM juga dibuat mulai hari ini. – BERNAMA