TEGUCIGALPA – Seramai 22 banduan berjaya meloloskan diri dari sebuah penjara paling sesak di Honduras sebelum sempat dipindahkan ke penjara yang mempunyai keselamatan lebih ketat, kata seorang pegawai.
Banduan terdiri ahli kumpulan Barrio 18 itu dikurung dalam unit khas “Scorpion”, berjaya melarikan diri dari penjara Marco Aurelio Soto pada Khamis, kata Ketua Institut Penjara Nasional Honduras Rosa Gudiel.
Susulan kes berkenaan pengarah dan beberapa warden penjara diarahkan bercuti sementara pihak berkuasa berusaha mengesan banduan serta menyiasat bagaimana insiden itu boleh berlaku.
Gudiel berkata ia adalah kes banduan melarikan diri yang terbesar sejak sedekad di Honduras.
“Banduan melarikan diri kerana enggan dipindahkan ke penjara yang mempunyai kawalan keselamatan lebih ketat,” kata Gudiel pada sidang akhbar.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan mengapa pihak berkuasa tidak memaklumkan mengenai kes berkenaan sebelum Sabtu.
Honduras memindahkan banduan dari kumpulan Barrio 18 dan Mara Salvatrucha ke penjara lain bagi membendung kegiatan peras ugut, pembunuhan dan jual beli dadah yang sering dikendalikan oleh anggota kumpulan berkenaan.
Di Tegucigalpa penjara Marco Aurelio Soto satu-satunya penjara paling sesak di Honduras, terdapat hampir 17,000 banduan sedangkan hanya mampu menampung seramai 8,000.
Pada 2014, Presiden Juan Orlando Hernandez mengarahkan pihak tentera untuk mengawasi penjara terbesar itu. – BERNAMA