KOTA BHARU – Sebanyak 400 kereta klasik dan retro dihimpunkan pada Karnival Kereta-Kereta Klasik Antarabangsa 2017 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.
Presiden Kelab Kereta Klasik Retro Kelantan, Ahmad Yusuff berkata karnival itu dianjurkan bertujuan mengumpulkan peminat kereta klasik di negara ini.
“Karnival sehari ini turut disertai 40 peserta dari Thailand sekali gus dapat mengeratkan tali persahabatan antara peminat kereta klasik dalam dan luar negara. Peserta juga boleh bertukar pendapat dan ilmu berkaitan kereta klasik,” katanya kepada Bernama.
Majlis perasmian karnival itu disempurnakan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim.
Antara jenis kereta klasik yang dipamerkan ialah Chevrolet, Morris, Volkswagen, Jeep, Datsun dan lain-lain.
Seorang peserta V. Tharmadurai, 55, berasal dari Raub, Pahang, berkata beliau berbangga mempunyai sebuah kereta klasik jenis Morris 1964 yang boleh dipertontonkan kepada orang ramai dalam karnival itu.
“Saya memiliki kereta ini sejak 10 tahun lepas. Memiliki kereta klasik yang masih dalam keadaan baik walaupun telah berusia puluhan tahun merupakan pengalaman unik,” katanya.
Seorang lagi peserta Zain Zakaria, 27, dari Tanah Merah, Kelantan, berkata karnival itu memberi peluang kepada golongan muda sepertinya untuk mengenali jenis kereta yang pernah dihasilkan suatu ketika dahulu.
“Saya percaya ramai golongan muda ketika ini tidak mengenali jenis kereta klasik kerana kebanyakannya dikeluarkan sekitar 1950-an. Ramai yang tidak mampu memiliki kereta klasik ketika ini kerana harganya yang begitu tinggi,” katanya. – BERNAMA