PELAKON Izreen Azminda memberitahu ramai lelaki tidak berani mendekatinya untuk menjalin hubungan yang lebih serius kerana sikapnya yang kelihatan tegas itu.
Walau bagaimanapun, Izreen, 32, berkata perkara tersebut tidak mengganggu fokus hidupnya dan tidak akan menjadi orang lain semata-mata mahu mendapatkan perhatian lelaki.
“Secara luaran memang saya nampak kasar, namum kalau ada yang mendekati saya secara peribadi, anda akan kenal Izreen yang sebenarnya.
“Izreen yang mempunyai sifat yang romantik, suka bermanja dan kalau boleh mahu dilayan seperti princess,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Izreen berkata perkahwinan bukanlah fokus utamanya buat masa ini kerana dia lebih fokus terhadap urusan seni dan pernigaan minyak wanginya.
“Kalau ada, adalah. Saya tidak pula mencari,” tambahnya.
Tambahnya lagi, dia juga mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada anak tunggalnya, Muhammad Adrian Umar, 4, dan masih belum mahu mendedahkan anaknya itu ke dunia hiburan.
“Buat masa ini saya mahu dia menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain tanpa dibebankan dengan perkara lain.
“Saya tidak berhasrat untuk membawanya ke lapangan komersil,” jelas Izreen. – MYNEWSHUB.CC