PUTRAJAYA – Lima penjelajah akan dipilih menyertai ekspedisi eksklusif wanita ke Antartika – ‘All Women Expedition to Antartica’ (Aweta) 2018 – selepas Aidilfitri nanti.
Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim mempelawa wanita Malaysia berusia 18 tahun ke atas supaya memohon menyertai ekspedisi itu, yang dijangka dilaksanakan pada November tahun depan.
Beliau berkata antara misi lima penjelajah wanita itu adalah menanam kapsul Transformasi Nasional 2050 (TN50) mengenai aspirasi wanita Malaysia di Antartika selain membawa pulang kapsul masa yang ditanam di Antartika oleh penjelajah wanita negara Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir pada 2004.
“Projek Aweta merupakan kolaborasi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memberi manfaat kepada masyarakat khususnya wanita.
“Diharapkan wanita Malaysia akan menyahut cabaran ini kerana negara kita perlukan lebih ramai wanita maju ke hadapan untuk berdaya saing dengan wanita-wanita terutamanya dari negara-negara maju,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Aweta 2018 dan sambutan Ulang Tahun Ke-10 Ekspedisi Kutub Utara di sini, hari ini.
Sementara itu, Sharifah Mazlina yang berperanan sebagai mentor Aweta 2018, berkata pemilihan lima protege untuk melaksanakan projek Aweta 2018 akan menggunakan konsep program realiti.
“100 protege akan saya pilih di peringkat awal sebelum dikurangkan menjadi 30 orang dengan setiap seorang akan tersingkir setiap minggu selama 13 minggu.
“Lima protege akan berlepas ke Antartika sementara dua lagi menjadi protege simpanan,” katanya sambil memberitahu bahawa tiada had umur maksimum ditetapkan untuk projek Aweta. – BERNAMA